Thursday, May 17, 2012

Aku dan Hitam Putih Dunia Pendidikan : Imbas Kembali Ketika Bosan

Sejak mengajar di Sarawak sebagai seorang GSTT dalam tahun 1999, aku dah nampak yang tersirat dan tersurat dalam satu organisasi yang dipanggil sekolah. Apa yang dipanggil sebagai satu budaya yang dibentuk oleh iklim yang dipengaruhi oleh gaya pentadbiran pengetua, penerimaan guru-guru terhadap dasar atau gaya kepimpinan pengetua, infrastruktur sekolah, dan budaya yang tersemai dalam persekitaran masyarakat tempatan di sekitar sekolah. Tidak aku nafikan sebagai seorang anak kampung yang jauh di pendalaman delta Sungai Rajang yang terdiri dari 90% suku kaum Melanau yang masih berpegang teguh pada tradisi zaman-berzaman (Tapi kampung aku cuma masih bertahan 30% kot), kerjaya dalam bidang pendidikan ini dianggap satu yang ideal dan tanggapan masyarakat terhadap betapa tingginya kepentingan ilmu pengetahuan  dalam kehidupan seseorang.

Tapi, selepas bergelumang dalam bidang pendidikan negara secara formal mulai tahun 2003, aku yang suka termenung mulai melihat tanggapan masyarakat sekitar daerah aku membesar sebagai sesuatu yang janggal dengan apa yang dipanggil sebagai tuntutan naluri aku sebagai seorang yang berfikiran logik (80%) dengan konsep sebab dan akibat. Ilmu pengetahuan yang diukur dengan pencapaian akademik semata-mata tidak mampu membawa apa yang dipanggil sebagai kepuasan dalam diri aku. Realitinya ilmu pengetahuan dengan erti kata yang lebih luas ruang lingkupnya perlu digunakan berbanding pencapaian akademik semata-mata.

Sejak hampir 3 dekad berlalunya zaman persekolahan peringkat menengah, aku dapat melihat betapa "hitam dan Putihnya" dunia pendidikan di Malaysia. Bukannya berwarna-warna yang mengikut pemahaman aku semasa menjadi seorang GSTT dahulu. Bukan kerana apa yang dipanggil sebagai kelemahan ataupun  kekurangannya, tetapi apa yang berlaku dari sudut pandangan aku menilai sistem tersebut. Entahlah, mungkin pencapaian akademik yang tinggi pun tidak akan mampu menjelaskan betapa sudut pandangan aku yang terlalu mudah dalam melihat perkembangan sistem pendidikan negara. Mungkin juga kerana dulu aku bukanlah bercita-cita hendak menjadi seperti apa yang aku kecapi sekarang dan bukannya aku menyesali apa yang aku pilih kerana mungkin manusia perlu memahami keperluan dan bukan kemahuan.

Ucapan Hari Guru : Bagi Aku Huruf "L" yang Sangat Menarik

Sejak di bangku sekolah, aku masih sebagai seorang anak kampung yang tidak ada matlamat yang jelas untuk menjadi apa bila menjejakkan kaki ke alam dewasa. Malahan semasa tingkatan 4 (masa tingkatan 3 aku fikir nak berhenti sekolah dah, hahahahahahaha) aku seperti mengharapkan agar zaman persekolahan aku berakhir dengan cepat dan alasan paling tidak logik aku pilih ialah boleh lepak dan lepak dan lepak dengan rakan-rakan setiap masa, bangun tido di kala mentari di ubun-ubun dan hanya makan apa yang ada. Memang aku seperti apa yang aku suka iaitu hanya warna putih dan hitam dalam laluan yang sempit walaupun aku ada menanam cita-cita untuk menjadi seorang "Pegawai Askar". Perggggghhhhh, sampai sekarang pun aku masih tak lupa cita-cita ini dan aku akur dengan keperluan dan bukannya kemahuan.

Semasa bergelar pelajar, aku hanya letak guru-guru aku dalam 2 kelompok ringkas dan aku tak bandingkan guru A dengan B ataupun C. Guru yang aku selesa aku anggap sebagai putih dan yang aku anggap hitam ialah yang aku malas nak ambik port sangat. Takda yang aku rasa lebih atau kurang dan kadang-kadang dengan mana-mana guru pun aku layan sedap mata tido dalam kelas kalau dah kebosanan tahap melampau. Malahan aku kadangkala melihat apa yang berlaku di sekolah sebagai satu yang aku kurang minat dengan apa sahaja, dari hari pendaftaran, pemilihan ketua kelas, perlantikan pengawas, membuat latihan, ulangkaji, makan kat dewan makan asrama, pergi solat berjemaah di surau sekolah, membaca Surah Yassin di malam jumaat, kelas belajar malam, sukan tahunan sekolah, cuti persekolahan, hinggalah ke hari keramat di sekolah iaitu "Hari Guru".

Aku jarang nak ambil port dalam apa sahaja aktiviti sekolah dan aku hanya cukupkan korum sahaja untuk apa sahaja aktiviti rasmi kecuali yang tidak rasmi di asrama, kawasan kebun getah di belakang sekolah, kawasan kuburan tak jauh dari kawasan sekolah, dan beberapa kawasan yang tidak terjangkau akal untuk pelajar asrama sampai. Pernah aku jalan kaki dari asrama ke kampung ikut jalan bertar yang siap sekitar 1993 semata-mata nak singgah di rumah dan berehat sambil minum air kosong. Bila mak aku bising, aku angkat kaki dan jalan balik ke asrama...bila sekarang aku fikir balik, eh gila wei! Jarak dia dalam lingkungan 20km tu. Bila jarang nak ambil peranan dalam aktiviti rasmi di sekolah (kalau ada aku rasa mungkin dengan keadaan terpaksa @ kena paksa @ semua member ambil peranan dan aku pun terpaksa). Aku lebih selesa dengan keadaan di kampung, lepak + lepak + lepak + lepak sampai pernah cop remaja yang mungkin takda masa depan yang....(&^%*&. Hahahahaha, wei dulu aku malas pun akademik grand juga di sekolah, inilah bahana sekolah takde aliran sains ne dulu, pindah sekolah pun aku lari balik sekolah asal, kenapa? Sampai sekarang aku tak tahu kenapa sangat, cuma aku malas nak fikirkan sangat.

Bila masuk tingkatan 6, tabiat tido lewat dan tido dalam kelas susah betul aku nak buang, rasa macam bahagia betul aku tido dengan menelukup muka ke meja. Malahan bangun lewat masa hujung minggu adalah yang paling indah. Masa ini aku mula risau dengan tanggungjawab terhadap keluarga dan nampak betapa warga kampung aku ne masih lagi melihat pencapaian akademik sebagai satu wadah penting untuk berjaya. Entahlah, tapi perangai tak berubah walaupun dah masuk 18 tahun. Selepas melanjutkan pelajaran ke UMS, aku masih tak berubah kalau bab tido, cuma posisi dah berubah dari kelas ke dewan kuliah dan ke kerusi belakang dalam bas dan stesen bas UMS di hadapan bangunan mahkamah di Kota Kinabalu. Celaka, member aku budak perniagaan dan ekonomi (Sulaiman bin Saud : Ko memang member yang baik) pernah sound..."Ko ne tido kat mana-mana pun ikut sedap mata je, dah tu tutup mata tido walaupun tgh tunggu bas, kat bilik nak tido susah lak..." hahahahaha, semuanya kerana permainan komputer.

Apa yang aku anggap hitam dan putih dunia pendidikan ini ialah apa yang aku buat semasa bergelar pelajar dan apa yang aku nampak dengan pelajar aku. Tak jauh bezanya dari segi konsep dan tafsiran umum. Tapi bila diselami, perubahan dasara KPM menunjukkan perbezaan yang amat ketara. Aspek penguasaan 3M yang amat jauh dalam kalangan pelajar menengah atas adalah paling menonjol di samping isu disiplin yang mungkin lebih berorientasikan teknologi khususnya penggunaan telefon bimbit. Nak buat apa, kan diaorang dah golongan "Digital Natif" dan tanggungjawab untuk mengawalnya terlalu subjektif dan sukar diterjemahkan. Bekas rakan sejawat aku di sekolah lama menyatakan bahawa dunia pendidikan ini baginya adalah berwarna warni ibarat pelangi, aku tak bantah! Cuma aku mungkin buta dengan warna bila melihat aspek tersebut dari 2 warna yang bertentangan iaitu "Hitam dan Putih". Layan sajak "Evergreen" oleh tokoh sasterawan negara bila bercerita tentang guru berikut:



BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Nota:
Untuk Guru-guruku yang Pernah mendidik aku:
1. Cikgu Izani Hassan (Sk. Bawang Tian, Matu)
2. Cikgu Mortadza Sat dan Isteri (Sk. Bawang Tian, Matu)
3. Cikgu Salim (Sk. Bawang Tian)
4. Cikgu Yusuf Omar (Sk. Bawang Tian)

1. Cikgu Padail Sam dan Isteri Cikgu Kartina Mohamed (SMK Matu)
2. Cikgu Abdul Razak Wahie (SMK Matu)
3. Cikgu Sayang Dairi (SMK Matu)
4. Cikgu Tasmi Baki (SMK Matu)
5. Ustaz Mohd Shah Ramli (SMK Matu)
6. Cikgu Mohd Zaid (SMK Matu)
7. Adoiiii... banyaknya aku lupa nama, kalau ingatttt???

1. Cikgu Jawiyah Udang (SMK Meradong)
2. Cikgu Abdul Manaf (SMK Meradong)
3. Cikgu Sivajiganeson (SMK Meradong)
4. Cikgu Ismail (SMK Meradong)
5. Cikgu Let Ali (SMK Meradong)
6. Cikgu Fadhillah (SMK Meradong)
7. Lupa juga... kalau ingat pun emmmm

Aku malas nak sambut hari guru di sekolah!!!!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...