Thursday, February 2, 2012

Aku dan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP)

Semenjak aku berada di semester akhir dalam pengajian sarjanamuda lebih sedekad yang lampau, aku memahami betapa kompleksnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) apabila mengetahui beberapa orang senior tidak mendapat penempatan pertama mereka apabila terdapat keciciran borang permohonan penempatan. Kemudia pensyarah kami memberi analogi melalui soalan...dalam sebuah daerah, ada berapa  buah sekolah? Berapa buah balai bomba? Berapa buah klinik atau hospital? Berapa buah balai polis? Berapa buah pejabat pos? Berapa buah / banyak jabatan kerajaan lain? Bila soalan tersebut dapat dijawab dengan membandingkan situasi sebenarnya, maka kita akan dapat meneliti dan menerima betapa KPM ini adalah kompleks dan mempunyai banyak cabang dan masing-masing mempunyai peranan dan guru di sekolah  adalah barisan hadapan dalam usaha memenuhi aspirasi sistem pendidikan negara dengan matlamat utama ialah melahirkan pelajar yang memenuhi kriteria falsafah pendidikan kebangsaan.

Carta Organsasi KPM : KLIK UNTUK SUMBER

Jadi selepas berhempas pulas dalam 3 semester untuk menyiapkan tugasan, menghadiri kuliah, membuat pembentangan, membuat sistem mudah, membuat kertas kerja, membuat lawatan, melapor hasil lawatan,  dan membuat perbincangan kumpulan, akhirnya perjuangan terakhir yang paling aku rasa malas nak buat ialah DISERTASI. Ini adalah bahagian yang aku paling malas sekali nak buat kerana terpaksa mencari maklumat, menilai, membuat analisis, merangka kajian, membuat pembentangan usul dan seterusnya mendapatkan kelulusan daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Daripada 9 orang kami, hanya 2 orang sahaja yang sempat mendapatkan kebenaran secara "by hand" dan 7 orang daripada kami terpaksa memohon melalui aplikasi atas talian dan ianya berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012. Aplikasi ini tidak jauh berbeza daripada EMISONLINE, SAPS, dan beberapa lagi aplikasi atas talian KPM yang lain. Dari banyak aspek memang memudahkan, cuma permohonan hanya valid sekali itulah yang membuatkan aku rasa emosi sedikit. Kenapa emosi? Mungkin kerana cadangan penyelidikan awal aku adalah melibatkan pelajar tingkatan 5 dan permohonan atas talian ini secara mandatorinya tidak membenarkan berbanding permohonan "by hand" sebelum ini.

Banyak yang aku terpaksa ubah dan edit cadangan sehingga memerlukan beberapa hari juga. Kemudian kami 7 orang telah sepakat menghantar melalui seorang rakan dan sia-sialah kos fotokopi, kos binding, kos kajian rintis, kos makan, kos rokok (aku sorang je kena), tambang dan masa rakan kami pergi ke KPM. Kemudian selepas selesai membuat permohonan ini, aku dapatlah berehat dan menenangkan fikiran sementara menunggu kelulusan dalam tempoh 5 hari bekerja. Apa yang aku harapkan ialah permohonan aku akan diluluskan sebelum aku membuat pembentangan usul pada 11 Februari nanti. Berat juga aku rasa nak buat pembentangan ini kerana berhadapan dengan panel yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah yang berstatus DR. Kalau bentang depan rakan-rakan, bolehlah gelak-gelak dan bolehlah panjang-panjangkan masa supaya dapat mengurangkan tekanan. Semoga kelulusan akan dapat diperolehi dalam tempoh masa yang sesuai sebelum aku membuat pembentangan ususl dan selesa meneruskan cabaran mengumpul data dan membuat analisis kajian dalam semester yang akan datang kerana kos yuran pengajian semester 4 adalah paling tinggi dan aku malas nak mengulang semester.

Permohonan atas talian ini aku "print screen" dan boleh lah aku jadikan kenangan sebelum pengajian aku tamat dan boleh juga aku baca sendiri entri semasa aku mengalami tekanan di kemudian hari. Setiap langkah aku masukkan kerana selepas 2 hari mencuba dan menghantar sms dan menelefon rakan yang sudah berjaya, barulah aku selesai mengisi permohonan atas talian ini. Walaupun timbul sedikit sebanyak masalah yang aku rasa boleh diselesaikan oleh BPPDP kemudian kerana sistem ini masih lagi baru dan banyak memberi bantuan dan kemudahan kepada warga KPM untuk menjalankan kajian.

Reka Letak Aplikasi : KLIK UNTUK GUNA

Pendaftaran dan hanya sekali sahaja dibenarkan

Email daripada sistem untuk mengakses aplikasi


Login kali pertama dan login kedua hanya untuk semakan

Baca syarat keempat, inilah yang aku maksudkan

Maklum balas, tapi takda pun no rujukan, nasib baik semakan guna ID dan Password ja

Diharap permohonan atas talian ini akan dapat memberi kemudahan kepada warga KPM untuk memupuk nilai dan kemahiran membuat penyelidikan. Melalui aplikasi ini, nilai-nilai ICT yang ingin dipupuk oleh pihak KPM akan dapat disemai dalam kalangan warga KPM yang berminat membuat penyelidikan. Ini kerana aplikasi ini amat memudahkan urusan permohonan tanpa perlu membazir masa, wang, dan tenaga berjumpa pegawai terbabit di BPPDP. Namun apa yang paling penting bagi aku semasa membuat artikel ini ialah kelulusan permohonan aku akan dapat diperolehi sebelum proses pembentangan usul pada 11 Februari ini nanti. Ini kerana proses mendapatkan data kajian semester depan akan menjadi perjuangan lebih besar dan berat sepanjang pengajian kami. Apalah sangat peperiksaan akhir dan tugasan setiap semester jika dibandingkan dengan disertasi yang menagih kami untuk mengumpul data dan menilainya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...