Wednesday, February 29, 2012

Aku Terfikir....Kadangkala

Harap menjadi pencetus semangat

Saturday, February 25, 2012

Logo Sekolah Aku

Selepas berpindah ke SMKTFSK pertengahan tahun lepas, perkara yang menghairankan aku ialah bagaimana sukarnya untuk mendapatkan salinan logo sekolah dan logo tersebut begitu kabur dan menyakitkan mata aku. Hahahahahahahaha, ntahlah kenapa lak aku suka sangat nak hairan pasal logo tersebut. Mungkin kerana bagi aku logo ne ibarat bendera ataupun simbol betapa sekolah tersebut adalah sebuah organisasi yang mempunyai matlamat dan dalam bahasa yang mudah, sebuah negara yang berdaulat pun mempunyai bendera yang acapkali menjadi kebanggaan warganegaranya. Selepas beberapa bulan, aku masih lagi tidak mempunyai masa yang cukup dan kelapangan untuk menilai dan meneliti logo tersebut. Mana tahu nanti sebenarnya logo yang aku dapat adalah yang terburuk dan ada sudah logo baru yang dibuat, berikut adalah logo yang aku dapat:

Logo asal yang aku dapat tahun lepas

Aku masih tidak mengetahui bagaimana logo sekolah aku boleh menjadi begitu kabur dan mungkin kerana pengaruh masa menjadikannya begitu. Walaupun aku sudah brkhidmat di 3 buah sekolah di Negeri di Bawah Bayu ini, keadaan yang sama pun berlaku dengan sekolah sebelum ini dan pada masa itu aku malas nak ambik port sangat. Cuma logo kedua-dua sekolah tersebut tidak berubah sehingga ke hari ini dan ianya tidak sekabur logo sekolah aku pada hari ini. Sejak tahun lepas aku memikirkan idea bagaimana nak membentuk semula logo tersebut dan aku masih tidak lagi mempunyai kelapangan sehinggalah aku dilantik menjadi AJK Statistik dan Data MSSD Tuaran 2012. Kalau diikutkan pengalaman aku di sekolah lama (daerah Kota Belud), urusan statistik dan data dibuat secara manual dan kadangkala membuatkan AJK tidak menang tangan untuk membuat analisis pungutan pingat dan data-data berkaitan. Tapi seperti entri sebelum ini, aku hairan kerana kali pertama jadi AJK duduk di bilik berhawa dingin dan banyak masa terluang dan hasilnya ialah logo baru sekolah seperti berikut:

Logo baru yang siap

Logo yang aku buat menggunakan perisian Corel Draw ini tidak jauh bezanya dengan logo asal dan perbezaan cuma dalam aspek kejelasan, saiz, dan sudut logo tersebut. Semuanya disebabkan aku mempunyai masa terluang yang aku rasa seperti tidak percaya sepanjang temasya MSSD Tuaran berlangsung di SMK Tamparuli dan Stadium UMS minggu lepas. Banyak jam juga dihabiskan untuk menyiapkan logo ini dan banyak juga yang aku muat naik ke laman facebook sebelum logo akhirnya dapat di "trim" supaya lebih "sharp" dan jelas. Malahan komponen-komponen utama dalam logo pun aku sempat leraikan seperti berikut:








Proses untuk melengkapkan baik pulih logo ini memerlukan masa hampir 5 hari dengan masa penuh hampir 10 jam dan aku habiskan juga walaupun kadangkala kebosanan apabila membuat lakaran dan menyusun kedudukan layer yang hampir 100 layer yang berasingan. Kalau menggunakan teknik lama iaitu kertas dan peralatan lukisan tradisional, aku rasa makinlah aku bosan dan hasilnya pasti tidak siap. Banyak juga maklumat yang aku perolehi daripada rakan-rakan dan hasilnya adalah logo asal yang dikekalkan maksud seperti asalnya berikut:


Banyak kali juga aku upload beberapa layer ke laman facebook untuk mendapatkan reaksi daripada rakan-rakan sebagai perkongsian dan mungkin disebabkan kekangan masa peribadi yang berbeza menjadikan ada yang memberi pandangan selepas siap logo ini. Tapi bagi aku tidak membawa masalah disebabkan projek ini bukanlah "grand" atau perlukan kertas kerja kerana proses asas ialah baikpulih dan mengekalkan ciri-ciri asal logo tersebut. Hasilnya adalah aku dapat menggunakan logo ini nanti di dalam majalah tahunan sekolah dan itu adalah matlamat utamanya. Selain itu, kekaburan tentang bentuk dan motto yang terdapat dalam logo ini dapatlah aku leraikan. Jadi layan beberapa "print screen" mudah aku semasa menghasilkan logo ini:

Terfikir gak aku nak buat puzzle... hahahahahaha

Banyak kali gerakan dan pandangan biasa bila aku layan CorelDraw

Print Screen last step

Akhir sekali, siaplah proses baik pulih yang aku buat terhadap logo sekolah ini selepas berhempas pulas menggunakan masa terluang bagi projek membuat majalah sekolah pada tahun ini. Kadangkala aku terfikir betapa pengalaman semasa semester 1 tahun pertama di UMS banyak memberikan aku pengetahuan tentang penggunaan asas program grafik apabila mengambil kursus Lukisan dan Catan serta Rekabentuk Grafik. Aku harap logo ini akan dapat memberi manfaat kepada warga sekolah dan bentuk yang jelas ini dapat menimbulkan semangat dalam kalangan pelajar. Ini kerana logo ini adalah logo kedua sekolah dan mengikut apa yang dimaklumkan oleh rakan guru yang merupakan bekas pelajar sekolah ini ialah logo yang digunakan semasa beliau bersekolah dahulu adalah lain dan proses baik pulih aku merangkap proses yang ketiga dalam pembentukan logo sekolah. Apa yang penting bagi aku ialah logo ini dapat digunakan secepat mungkin dan mata aku tak sakit lagi bila melihat kekaburan yang ada pada logo sekolah aku... hahahahahahaha.


Wednesday, February 22, 2012

MSSD Tuaran 2012 (Kali Ke-44) - Hari 1 dan 2

Tahun terkahir aku di SMK Narinang Kota Belud pada 2009, sekolah tersebut telah menjadi tuan rumah majlis sukan sekolah-sekolah daerah (MSSD) Kota Belud dan aku telah dilantik sebagai AJK peralatan dengan hakim lontar peluru. Entahlah, apa yang aku ingat semasa sukan tersebut adalah kabur kerana sudah menjadi tradisi sejak sekolah menengah, aku ne bukanlah jenis suka nak menyibuk semasa sukan sekolah dan aku lebih selesa duduk memerhati berjam-jam tanpa ada kerja yang aku buat. Malahan semasa kali pertama bergelar pendidik dalam tahun 1998, aku duduk di meja guru selama 2 masa tanpa membuat apa-apa dan tiga perkataan yang keluar dari mulut aku pada masa itu ialah, "buat kerja sendiri". Kenapa, entahlah...aku pun tak tahu kenapa. Mungkin aku ne jenis malas nak bercakap dengan individu yang berbeza usia terutamanya orang yang jauh lebih berusia mahupun jauh lebih muda.

Kemudian semasa aku berpindah ke SMK Pekan Kota Belud II sekitar Mac 2009, sekali lagi sekolah aku menjadi tuan rumah MSSD Kota Belud dan banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan semasa aku menjadi AJK buku aturcara majlis tersebut. Tetapi pada tahun 2012 ini, sekali lagi aku terlibat dengan MSSD Tuaran kali ke 44 dan kali ketiga berturut aku berkhidmat di sekolah yang menjadi penganjur. Sehingga aku terfikir, adakah aku akan berpindah ke sekolah yang akan menjadi tuan rumah (penganjur) MSSD lagi kemudian hari. Maklumlah, aku ne bukan jenis yang suka sangat terlibat dalam aktiviti berorientasikan sukan ini walaupun aku masih boleh bersukan. Aku tak dapat bayangkan kalau aku berpindah sekolah baru semula dan sekolah tersebut menjadi tuan rumah atau penganjur semula.

Semasa MSSD Tuaran 2012 ini, aku dilantik sebagai AJK Statistik dan Data yang berdasarkan pemerhatian aku di Daerah Kota Belud dahulu adalah tugasan yang amat sibuk dan memeningkan. Tapi apa yang menarik dalam temasya Daerah Tuaran ini ialah, semuanya menggunakan peralatan ICT walaupun laptop dan printer adalah milik peribadi guru. Kemudian duduk dalam bilik berhawa dingin di Stadium UMS dengan talian internet yang boleh aku anggap boleh untuk mengemaskini blog dan membaca berita terbaru melalui media ke-3 ini adalah sesuatu yang bagi aku boleh dianggap peralatan yang memenuhi kehendak aku. Hahahahaha, lagipun entri kali ini aku "update" semasa menunggu keputusan yang belum lagi muncul untuk dimasukkan ke dalam pengkalan data. "Awesome, no need to write everything...just used a keyboard aka hidden tool".

Orang kuat SMKTFSK dalam penganjuran temasya sedang bersantai

CameraGirl 1 : Di luar SMK Tamparuli

Guru pengiring kontijen SMKTFSK sedang memantau

Kontijen SMKTFSK sedang berehat dan membuat percaturan

Penonton setia : Padang SMK Tamparuli

Ternakan lebah madu di padang SMK Tamparuli

Hari pertama penganjuran temasya MSSD Tuaran dilaksanakan di dua "Venue" dengan padang SMK Tamparuli digunakan pada hari pertama dan melibatkan acara padang sahaja. Disebabkan kesibukkan di bahagian statistik dan data, aku hanya menyerahkan 600D aku kepada pelajar tingkatan 6 kelab fotografi untuk merakamkan memori yang tercatat sepanjang penganjuran kali ini. Memang zaman persekolahan banyak membentuk memori dan kenangan dalam kalangan pelajar dan aku berfikir, kenapalah zaman aku sekolah dahulu tiada DLSR dan talian internet. Kalau ada mungkin banyak kenangan yang akan dapat dirakam dan disimpan dalam lipatan cakera pelajar. Apa yang mampu ialah 2 billion sel yang ada dan ramai dalam kalangan aku dan rakan-rakan mula melihat kenangan zaman persekolahan dahulu pudar dimamah usia. Erk! Aku terus terfikir pesan Imam al-Ghazali bahawa, yang jauh itu ialah masa lalu. Memang aku rasakan kenangan zaman persekolahan itu semakin jauh walaupun masih terlibat dalam bidang pendidikan dari sudut pandangan yang berbeza. Mungkin bagi rakan-rakan yang tidak terlibat secara langsung dengan bidang pendidikan, kenangan itu pasti lebih jauh daripada mereka kerana tidak ada perkara yang boleh mencetuskan memori itu dari aspek yang lebih dekat berbeza dengan guru-guru sekolah menengah.

Acara 400M di Stadium UMS

CameraGirl 2 : Candid ka apa ntah! Baretta... hahahaha

Cikgu Anne selaku AJK Hadiah dengan pembantu

Kontijen SMKTFSK : Pakai Topi Orang Paling Kuat Temasya

PBSM SMKTFSK : Sesi bergaya sebelum letih angkat atlet

Stadium UMS : Banyak kenangan aku semasa belajar tahun 2000 dahulu

Atlet

Temasya hari kedua diadakan di Stadium UMS dan hujan turun pada pagi hari tidak mengganggu perjalanan temasya. Ramai juga dalam kalangan atlet dan pengurus pasukan yang basah kuyup terutamanya Penolong Kanan Kokurikulum sekolah aku yang sibuk mengurus dan memastikan temasya berjalan lancar. Tapi kenapa lak cameragirl aku tak ambik gambar dia? Hahahahahaha, cameragirl ne sibuk nak ambik gambar atlet sampai lupa nak ambik gambar pengurus pasukan, pengurus setiap bahagian, dan lupa nak ambik gambar individu-individu penting dalam temasya kali ini. Diharap dalam entri yang akan datang, cameragirl baru akan dapat merakam memori yang lebih penting untuk aku guna dalam majalah sekolah pada tahun ini. Pelajar kelab fotografi SMKTFSK nampaknya hanya golongan hawa yang mendominasi kelab tersebut. Pada pagi ini pun 2 orang cameragirl yang lapor diri, adakah golongan Adam pun pupus seperti zaman aku belajar 10 tahun yang lampau...entahlah.


Friday, February 17, 2012

Bila Aku Bosan

Sejak menyambung pengajian secara separuh masa hampir setahun yang lepas aku pun tak tahu apa nak buat bila cuti antara semester bermula. Malahan apabila rasa bosan dan malas melanda banyak benda yang akan aku lakukan demi memenuhi masa lapang di samping memenuhi waktu malam yang kadangkala membuatkan aku sering terfikir sampai bila aku akan terus menjadi seorang pendidik. Mungkin tahap motivasi dalaman aku dah berada di tahap yang sangat nipis dan entahlah. Jadi kadangkala aku pun tak tahu nak buat apa di samping sebahagian besar disertasi belum terusik, emmmm....


Perkongsian ilmu untuk panitia sejarah

Banyak program dirancang dan perkongsian ilmu untuk pelajar

Sunday, February 12, 2012

Aku dengan Hujung Minggu yang Sibuk

Hari KHAMIS memang aku tak berapa suka kecuali khamis yang cuti dan mungkin pelik bagi sesetengah orang walaupun aku rasa tak pelik. Entahlah! Sepanjang minggu ini aku balik ke zaman seperti di UMS hampir sedekad lalu apabila masa tidur beranjak ke waktu yang tidak sepatutnya dengan masa tidur awal dan bangun sekitar pukul 12.00-01.00AM. Tapi minggu yang sibuk kadangkala mempengaruhi masa tidur aku dan kadangakala juga minggu yang sibuk menyebabkan aku berada di depan komputer berjam-jam tanpa jemu dengan berbekalkan nescafe dan sebungkus dua rokok (orang Sabah panggil sigup). Kesibukanlah yang membuatkan aku mempunyai idea untuk membuat kerja kerana aku seperti biasa bekerja dalam tekanan dan kadangkala perkara ini menepati lumrah hidup manusia dan kadangkala bagi aku benda ini perlu dielak bagi menangani masalah "stress" dan tekanan kesihatan.

Entahlah aku macam dah boring apa nak cerita, dua kerja untuk minggu ini:

Muka depan Proposal Kajian aku dengan 33 halaman dan bentang 28 minit


Warna warni sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tuaran 2012



Wednesday, February 8, 2012

Aku dan Kenangan Budak Sekolah Menengah (Hari Khamis)

Hari KHAMIS sepanjang minggu adalah hari yang menyeksakan jiwa semenjak aku berada di sekolah menengah dan ramai dalam kalangan rakan-rakan rapat aku dahulu sering mengira jari sehingga ke jari kaki supaya hari Jumaat akan menjelang dengan cepat tanpa melalui hari khamis yang menyeksakan. Kenapa menyeksakan? Entahlah... aku pun tak tahu kenapa kepala kami macam sudah di "set" kan begitu. Mungkin budaya yang suka melepak sepanjang hujung minggu di kampung menjadikan kami begitu.  Apabila tamat zaman persekolahan, banyak kenangan aku bersama rakan-rakan yang semakin pudar dek kerana penangan jarak dan bidang kerjaya masing-masing. Malahan hanya perbincangan atas talian yang menjadi sebahagian agenda penting dan aku berani katakan bahawa semua rakan-rakan sebaya aku (sekelas / sekampung) semuanya kerek tidak menggunakan kemudahan laman sosial ataupun laman blog. Selebihnya hanya rakan lebih senior dan kenalan yang lebih muda dan ini membuatkan kadangkala cerita tetap akan jadi seperti zaman sekolah.

Kenangan yang paling aku tak dapat lupakan ialah bila melibatkan cerita-cerita dengan junior di asrama mahupun di kawasan tandas pelajar lelaki. Masa sekolah dulu, aku akan jalan dengan rakan-rakan sekelas dan masa senior adalah masa yang terindah. Mungkin kenangan itu menyebabkan kadangkala bila aku tegur super junior di atas talian, perkara dok nak membuli ne masih lagi ada sisa-sisanya. Memang perangai macam celaka dan payah nak buang... Nasib baik tiada rakan sebaya aku yang dok usha FB ataupun apa-apa aplikasi atas talian ini kecuali senior dan beberapa orang junior. Kalau tidak aku rasa mungkin kepala masuk air kami akan terus-menerus beroperasi tanpa ada batas masa dan jarak. Malahan walaupun kadangkala kenangan di waktu sekolah tu jauh, apabila kami kembali bercerita semasa berjumpa di waktu sambutan Aidilfitri, terfikir juga betapa kami menggunakan kesenioran dengan cara yang tidak sepatutnya. Kami pernah suruh pelajar tingkatan 1 pergi ke kantin sekolah berbekalkan syiling RM0.50 untuk membeli 2 tin PEPSI, 2 bungkus nasi lemak, dan 2 bungkus mee goreng. Terus muka pelajar tu berkerut dan apa yang lawak ialah beliau mampu menjalankan misi tersebut dengan jayanya. Kemudian bekalan rokok tak payah lah cerita bila dapat diperolehi melalui perkongsian pintar antara kami dengan junior bila junior yang mempunyai peratusan duit hampir 80%, dia yang dok panjat pagar pergi beli, dan kalau 20 batang rokok tu... kami dapat hampir 16 batang. Hahahahahaha...gila dan kadangkala benda tu jadi macam bangang bila difikirkan balik.

Tapi kenangan paling menarik bila kami paksa junior nanyi lagu nasyid sampai 20 kali ditengah-tengah malam buta dan ada junior yang terpaksa ulang-ulang sampai aku ketawa guling-guling sebab asyik lupa lirik. Bila kami ulang cerita tu sekarang, memang lawak la dan budak dok kena tu pun ketawa dan cakap..."Beliun mlo sabey, senget ko wakno mak badak, lelah mak tan pelagu labik tumo. Samah alah wak ateng sekali mak, keparat". Hahahahahahahahahaha...cerita tu korang boleh tengok SINI. Budak yang kena tu pun tak kisah sebenarnya dan itu bukti bila pelajar masuk tingkatan 1, kebanyakkannya adalah lurus bendul dan kami yang otak masuk air suka mengambil kesempatan di atas kesulitan junior-junior. Kemudian masa tingkatan 6 lagilah satu perkara bangang aku rasa bila aku seorang je yang sambung belajar dan yang lain meneruskan hidup mengikut pilihan sendiri. Perangai tu aku tak dapat buang sampai aku sering sekeh kepala budak tingkatan 1 dan 2 yang limpas, bila ditanya kenapa Bang? Aku jawab selamba, jalan bagus sikit... macam pondan. Rakan-rakan aku dari sekolah lain (maklumlah kami dari 8 sekolah berbeza masuk tingkatan 6 di satu sekolah sama) selalu bertanya... kenapa juga ko ne? Entahlah... aku pun tak tahu, mungkin kerana pada hari itu ialah jari KHAMIS. Layan print screen berikut:

Budak ne bukan junior sekolah, tapi budak kampung aku, dulu selalu terserempak...
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.


Hahahahaha... kira terserempak beginilah, wakakakakakakkakakakaka

Hari KHAMIS memang hari yang membosankan aku dan banyak benda bangang yang aku buat kalau dah bosan dan satu-satunya di blog aku ini ialah bila aku update entri ini. Kenapa lak nak update, entahlah... aku pun tak tahu kenapa dan jari aku ne kebas kot kalau tak menaip.... wakakakaka


Tuesday, February 7, 2012

Aku dan Bahan Bantu Mengajar Geografi

Semasa menjadi seorang pendidik awal tahun abad ke-21, aku bukan seorang yang mempunyai kemahiran dan seorang pendidik Novis yang tegar dan masuk ke kelas dengan ala kadar. Apa yang selalu menjadi pegangan aku ialah aku tidak mahu seperti guru sejarah aku semasa di sekolah menengah yang kadangkala hanya menghabiskan waktu pembelajaran di kelas dengan menyalin nota sampai kebas tangan pelajar satu kelas. Bukan aku ingin menyalahkan cara guru aku, cuma aku mahu melupakan kenangan yang aku rasa cukup lawak bagi aku kerana kebanyakkan nota yang disalin adalah ayat yang sama seperti buku rujukan. Walaupun bagaimanapun, memang aku tidak nafikan semua jasa-jasa guru-guru aku dahulu yang sanggup datang ke sekolah aku yang jauh di pendalaman delta sungai Rajang. Ntahlah... kenangan zaman sekolah menengah ini memang sukar untuk aku lupakan terutamanya apabila melibatkan aspek-aspek kepala pelajar SMK Matu tahun 1990-an yang selalu masuk air teh tak sedap dewan makan.

Apakah yang dimaksudkan dengan bahan bantu mengajar dan kadangkala disebut sebagai Alat Bantu Mengajar? Sebenarnya setiap individu yang terlibat dalam bidang pendidikan sedia maklum dengan istilah tersebut dan kadangkala terpulang kepada mana-mana guru untuk memilih bahan yang sesuai. Tapi apa yang paling penting ialah bahan bantu mengajar tersebut tidak semestinya berkesan untuk semua pelajar. Malahan bahan yang berjaya diaplikasi di sekolah A tidak semestinya berjaya diaplikasi di sekolah B. Begitu juga apabila melibatkan penggunanya iaitu guru di mana bahan yang digunakan oleh guru A tidak semestinya berjaya digunakn oleh guru B, ataupun guru C. Apa yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah kerana bidang pendidikan adalah sesuatu yang subjektif seperti mungkin pelajar A dan guru A suka bersaing dan mungkin guru seperti aku dan pelajar seperti B suka berkongsi. Terpulang kepada perspektif masing-masing.

TrekUnit 2 Geografi Tingkatan 5 : Inovasi Asal dari Cikgu Mohd Zaini Subin (SMA RANAU)

Sebenarnya matapelajaran yang aku rasa paling membebankan aku di dunia ini adalah geografi dan aku sebagai seorang pendidik tidak suka untuk merahsiakannya kepada pelajar. kenapa? Kerana bagi aku, pendidikan ini bukan untuk bersaing, tetapi untuk berkongsi dan aku pernah mengajar (01)F6-Sejarah Tamadun Dunia 7 Tahun (02)F6-Sejarah Malaysia 2 Tahun  (03)F5-Sejarah 3 Tahun  (04)F4-Sejarah 5 Tahun  (05)F3-Sejarah 1 Tahun  (06)F2-Sejarah 1 Tahun  (07)F1-Sejarah 2 Tahun  (08)Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan : Ntah  (09)Pendidikan Moral : Ntah  (10)ICTL 2 Tahun  dan sekarang aku mengajar Geografi tak sampai 6 bulan (F3,F4, dan F5). Kenapa hampir 11 matapelajaran dan tahun 2011 dan 2012 adalah musim yang paling memeningkan aku dan ditambah dengan untuk kesekian kalinya pasukan Arsenal  berada di bawah prestasi sebenar. Hahahahahaha... tiada kaitan.

Banyak kali aku menghasilkan bahan bantu mengajar seperti diatas dan sehingga ke hari ini, hanya Sejarah Tingkatan 4 yang habis mengikut sukatan dan soalan setaraf SPM. Jadi bahan tersebutlah yang akan aku jadikan modal untuk pembentangan usul kajian sarjana aku pada 11.02.2012 ini nanti dengan aplikasi berasaskan bahan multimedia ringkas. tetapi sepanjang tahun ini, aku terpaksa menyediakan semula bahan demi untuk di bawa ke kelas dan kadangkala aku terfikir sampai bila aku akan terus membuat bahan baru tanpa ada penambahbaikan. Soalan yang kadangkala bernas juga kerana sukar untuk membuat peningkatan kerana skop satu-satu matapelajaran adalah berbeza, tapi bersyukurlah dengan anugerah ALLAH SWT melalui rezeki dan kesihatan yang dianugerahkannya.

Entahlah kenapa aku merapu buat entri ini...kerana aku tak dapat tidur dan berfikir untuk menyiapkan draf pembentangan usul kajian aku. Semoga dipermudahkan segala urusan aku dan 8 lagi rakan-rakan yang seperti cacing kepanasan menunggu semester terkhir bulan Mac 2012 ini. 

Nota
1. Nota di atas dibuat menggunakan aplikasi Microsoft Words
2. Selepas tamat pengajian, aku akan kongsikan bahan ini di laman blog sejarah dan geografi
3. Masih stuck idea untuk menjadikannya bahan multimedia menarik...emmmm


Sunday, February 5, 2012

Aku dan Adik Member : "Ada apa Pada Nama"

Sejak bergelar pendidik pada tahun 1998 hinggalah tahun 1433H ini, apa yang selalu aku tekankan kepada pelajar semasa minggu-minggu awal proses pembelajaran di kelas ialah pengertian, maksud, atau apa sahaja yang berkaitan dengan nama mereka. Malahan pernah pelajar aku persoalan tentang nama mereka yang sukar untuk mengetahui rahsia disebaliknya kerana selepas tahun 2003 dan tamat pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) aku ditempatkan di negeri di bawah bayu dan majoriti pelajar adalah golongan bukan beragama Islam dan memang 90% daripadanya gagal untuk menjawab maksud nama mereka sendiri. Terpaksalah aku ulang versi cerita yang sama iaitu: 
"JUNAIDI ne maksudnya dalam bahasa ARAB ialah perajuritku ataupun dalam bahasa mudah ialah askar... sebab tu dulu cikgu bercita-cita nak jadi askar ataupun pekerjaan yang menggunakan pakaian seragam. Jadi sebagai seorang mausia berakal, kita mesti menggunakan akal dan terpulanglah kepada kamu semua untuk memahami apakah maksud disebalik nama sendiri dan orang yang paling tepat untuk menjawabnya jika tiada maksud dalam bahasa Arab, Inggeris, etc... ialah ibu bapa sendiri, balik dan tanya dengan sopan santun dan anda akan mengetahuinya."
Memang aku tak nafikan bahawa selepas menjadi seorang pendidik, adalah penting untuk aku mengenali nama dan pemilik nama tersebut di kelas. Cuma selepas tahun 2009 apabila aku dipindahkan lokasi berkhidmat dengan sedikit paksaan dan sekarang berkhidmat di sekolah baru lagi, perasaan minat dan motivasi kerja itu semakin pudar dan pudar dan pudar. Tapi bukan isu itu yang ingin aku kongsikan di sini, apa yang ingin aku kongsikan ialah istilah "Ada apa Pada Nama" khususnya kepada individu yang aku kenali dan persepsi orang lain terhadap nama aku di platform maya ini. Memang aku lebih suka duduk berjam-jam di depan komputer dan melayari pelbagai blog dan menggunakan pelbagai aplikasi atas talian dan semakin aktif semenjak aku meneruskan pengajian di peringkat sarjana Komputer dalam Pendidikan hampir setahun yang lepas. Tiada talian internet adalah sesuatu yang menyeksakan jiwa dan raga aku.


Kalaulah aku masuk PALAPES (ROTU) semasa di UMS mungkin aku akan
berusaha masuk ATM dan mungkin dapat menggunakan pangkat Mejar.

Apabila ledakan web 2.0 dalam tempoh 5 tahun terkebelakang ini yang dipelopori oleh laman blog, kolabarasi wikipedia, posdcast audio (youtube...etc), dan laman sosial, isu tentang ada apa dengan nama ini semakin sukar untuk dimengerti. Bayangkan apabila anda menerima pelawaan pengguna laman sosial seperti facebook, adakah anda mempersoalkan identitinya. Mungkin tidak ataupun sebaliknya, tapi bagi aku... aku akan "accept" dan "request" individu yang aku kenal dan daripada 606 rakan facebook 90% adalah individu yang aku kenal melalui percakapan, rakan sekerja, bekas pelajar, rakan sekolah, dan rakan-rakan kampung. Selebihnya berlambak lagi aku biarkan berkulat permintaan mereka kerana memang aku tak kenal dan aku tak boleh agak siapa individu tersebut. Malahan selebihnya aku tak kenal kerana hanya berkomunikasi melalui web 2.0 (Blog) dan mungkin dia adalah pemilik blog yang aku selalu baca dan kadangkala adalah pelayar tegar internet yang mempunyai minat yang sama.

Tetapi apa yang melucukan ialah apabila individu yang aku kenal dan dia pula yang merasakan aku sahaja-sahaja accept dan dalam bahasa mudah adalah "silap orang". Hahahahahaha FTW... sekarang baru aku rasakan istilah "Digital Natif" dan "Digital Immigrant" hampir tidak tepat jika dikaitkan dengan dunia ketiga. Apa lagi dengan sambungan talian internet Malaysia yang lembab berbanding dengan negara-negara peneraju aplikasi atas talian. Anda boleh baca artikel ulasan aku tentang kelajuan internet di SINI dan SINI.  Walaupun kadangkala ulasan aku lebih kepada cerita tentang sesuatu yang aku buat sebenarnya, tetapi anda akan jumpa berapa nilai kelajuan internet di Malaysi Timur dan Malaysia Barat dan negera-negara peneraju utama aplikasi atas talian dunia. Apa yang aku cuba sampaikan ialah kesan daripada aku melayari internet selepas asar hari ini adalah sesuatu yang melucukan dan membuatkan aku teringat balik semasa zaman aku di sekolah menengah (teringat rakan-rakan sekolah masa Tingkatan 1-5 dan terbayang balik muka guru-guru aku yang sudi berkhidmat di daerah terpencil di kawasan Delta Sungai Rajang). 

Jadi layan perbualan mudah aku dengan adik member aku semasa sekolah menengah, apa yang lawak ialah isu yang aku maksudkan iaitu "Ada apa Pada Nama":

Mula-mula... acara tukar link blog paling bangang pernah aku buat, tapi okaylah kalau masa FB

Haram halal aku tak terlibat dengan perniagaan online setakat ini, Tapi dia ne belum faham SEO

Membaca atau bercakap, Rileks! Banyak soalan tak terjawab. Aku fikir masa ne, "Digital Natif" FAIL

U see...JUNAIDI MOHAMED vs IMRAN JUNAIDI... Hahahahahaha FTW. Tapi dia ne memang
Berbakat kalau berdebat dan berhujah macam kakak dia ne. Darah Cikgu ada tu... berbanding aku

Zuraini Said : Your younger Brother ne, "Wak may menak Gambar". Bak sini aku ambik gambar ko
Bukti Bahasa Melanau adalah "Dinamik" & bukan "STATIK" aku prefer. Wak may kukak Gambar

Super Fallacy gak adik member aku ne, ada bakat dan kesian CIKGU IMRAN. Hahahahahahaha

Salam Maulidur Rasul 1433H dan sorry ye, kalau bahasa rojak dan macam...

Sebenarnya aku kenal dan sangat kenal dengan cikgu yang dia maksudkan tu, IMRAN JUNAIDI tu super duper senior aku masa sekolah dulu. Tapi biarlah dia cari akaun FB cikgu dia sampai dapat walaupun aku rasa cikgu dia takde akaun FB pun. Cikgu dia mengajar diaorang di SMK Matu dan aku mengajar di SMK TPDPH Normah Daro dalam tahun yang sama kot. Cuma selepas aku meneruskan usaha mencari rezeki di Negeri di Bawah Bayu awal tahun 2000, jarang sudah aku terserempak dengan cikgu dia ne walaupun sebenarnya Cikgu Imran ne kahwin dengan anak Jiran aku. Mungkin faktor aku jarang balik ke kampung kecuali semasa sambutan Aidilfitri sahaja menyebabkan perkara ini berlaku. Sejak tahun 2000 tidak sampai 30 kali aku balik ke kampung dan kadangkala ada rakan sejawatan aku yang kata aku gila tak mau balik... tapi dia pun bukan balik 5X setahun, paling-paling balik 2X setahun macam aku juga, apalah.

Apa yang penting bagi aku ialah bukan sejauh mana kemahiran dimiliki untuk menggunakan kemudahan aplikasi atas talian ini, cuma sejauh mana kesedaran kita tentang isu keselamatan data dan sebagainya. Tengok adik member aku kat atas tu. Detective Conan dan memang dia tak letak gambar sendiri pun, kenapa? Mungkin dia berfikir sama seperti aku, kalau letak gambar...kena pedajal nanti susah. Kemudian kenapa aku tahu dia adik kepada CLASSMATE aku dulu, kenapa? Ntahlah... mungkin sebab aku suka bongkar akaun FB orang kot. Hahahahahahaha. SALAM MAULIDUR RASUL 1433H.


Thursday, February 2, 2012

Aku dan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP)

Semenjak aku berada di semester akhir dalam pengajian sarjanamuda lebih sedekad yang lampau, aku memahami betapa kompleksnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) apabila mengetahui beberapa orang senior tidak mendapat penempatan pertama mereka apabila terdapat keciciran borang permohonan penempatan. Kemudia pensyarah kami memberi analogi melalui soalan...dalam sebuah daerah, ada berapa  buah sekolah? Berapa buah balai bomba? Berapa buah klinik atau hospital? Berapa buah balai polis? Berapa buah pejabat pos? Berapa buah / banyak jabatan kerajaan lain? Bila soalan tersebut dapat dijawab dengan membandingkan situasi sebenarnya, maka kita akan dapat meneliti dan menerima betapa KPM ini adalah kompleks dan mempunyai banyak cabang dan masing-masing mempunyai peranan dan guru di sekolah  adalah barisan hadapan dalam usaha memenuhi aspirasi sistem pendidikan negara dengan matlamat utama ialah melahirkan pelajar yang memenuhi kriteria falsafah pendidikan kebangsaan.

Carta Organsasi KPM : KLIK UNTUK SUMBER

Jadi selepas berhempas pulas dalam 3 semester untuk menyiapkan tugasan, menghadiri kuliah, membuat pembentangan, membuat sistem mudah, membuat kertas kerja, membuat lawatan, melapor hasil lawatan,  dan membuat perbincangan kumpulan, akhirnya perjuangan terakhir yang paling aku rasa malas nak buat ialah DISERTASI. Ini adalah bahagian yang aku paling malas sekali nak buat kerana terpaksa mencari maklumat, menilai, membuat analisis, merangka kajian, membuat pembentangan usul dan seterusnya mendapatkan kelulusan daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Daripada 9 orang kami, hanya 2 orang sahaja yang sempat mendapatkan kebenaran secara "by hand" dan 7 orang daripada kami terpaksa memohon melalui aplikasi atas talian dan ianya berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012. Aplikasi ini tidak jauh berbeza daripada EMISONLINE, SAPS, dan beberapa lagi aplikasi atas talian KPM yang lain. Dari banyak aspek memang memudahkan, cuma permohonan hanya valid sekali itulah yang membuatkan aku rasa emosi sedikit. Kenapa emosi? Mungkin kerana cadangan penyelidikan awal aku adalah melibatkan pelajar tingkatan 5 dan permohonan atas talian ini secara mandatorinya tidak membenarkan berbanding permohonan "by hand" sebelum ini.

Banyak yang aku terpaksa ubah dan edit cadangan sehingga memerlukan beberapa hari juga. Kemudian kami 7 orang telah sepakat menghantar melalui seorang rakan dan sia-sialah kos fotokopi, kos binding, kos kajian rintis, kos makan, kos rokok (aku sorang je kena), tambang dan masa rakan kami pergi ke KPM. Kemudian selepas selesai membuat permohonan ini, aku dapatlah berehat dan menenangkan fikiran sementara menunggu kelulusan dalam tempoh 5 hari bekerja. Apa yang aku harapkan ialah permohonan aku akan diluluskan sebelum aku membuat pembentangan usul pada 11 Februari nanti. Berat juga aku rasa nak buat pembentangan ini kerana berhadapan dengan panel yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah yang berstatus DR. Kalau bentang depan rakan-rakan, bolehlah gelak-gelak dan bolehlah panjang-panjangkan masa supaya dapat mengurangkan tekanan. Semoga kelulusan akan dapat diperolehi dalam tempoh masa yang sesuai sebelum aku membuat pembentangan ususl dan selesa meneruskan cabaran mengumpul data dan membuat analisis kajian dalam semester yang akan datang kerana kos yuran pengajian semester 4 adalah paling tinggi dan aku malas nak mengulang semester.

Permohonan atas talian ini aku "print screen" dan boleh lah aku jadikan kenangan sebelum pengajian aku tamat dan boleh juga aku baca sendiri entri semasa aku mengalami tekanan di kemudian hari. Setiap langkah aku masukkan kerana selepas 2 hari mencuba dan menghantar sms dan menelefon rakan yang sudah berjaya, barulah aku selesai mengisi permohonan atas talian ini. Walaupun timbul sedikit sebanyak masalah yang aku rasa boleh diselesaikan oleh BPPDP kemudian kerana sistem ini masih lagi baru dan banyak memberi bantuan dan kemudahan kepada warga KPM untuk menjalankan kajian.

Reka Letak Aplikasi : KLIK UNTUK GUNA

Pendaftaran dan hanya sekali sahaja dibenarkan

Email daripada sistem untuk mengakses aplikasi


Login kali pertama dan login kedua hanya untuk semakan

Baca syarat keempat, inilah yang aku maksudkan

Maklum balas, tapi takda pun no rujukan, nasib baik semakan guna ID dan Password ja

Diharap permohonan atas talian ini akan dapat memberi kemudahan kepada warga KPM untuk memupuk nilai dan kemahiran membuat penyelidikan. Melalui aplikasi ini, nilai-nilai ICT yang ingin dipupuk oleh pihak KPM akan dapat disemai dalam kalangan warga KPM yang berminat membuat penyelidikan. Ini kerana aplikasi ini amat memudahkan urusan permohonan tanpa perlu membazir masa, wang, dan tenaga berjumpa pegawai terbabit di BPPDP. Namun apa yang paling penting bagi aku semasa membuat artikel ini ialah kelulusan permohonan aku akan dapat diperolehi sebelum proses pembentangan usul pada 11 Februari ini nanti. Ini kerana proses mendapatkan data kajian semester depan akan menjadi perjuangan lebih besar dan berat sepanjang pengajian kami. Apalah sangat peperiksaan akhir dan tugasan setiap semester jika dibandingkan dengan disertasi yang menagih kami untuk mengumpul data dan menilainya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...