Monday, January 2, 2012

Aku dan Warisan Senibina Rumah Bangsa Melanau

Apabila berbincang tentang warisan bangsa Melanau, banyak perkara yang aku ketinggalan. Cuma satu perkara yang aku rasa ramai dalam kalangan generasi muda Melanau akan mudah untuk memilih jawapan tentang senibina rumah Melanau yang unik berbanding kewujudan Kalendar Melanau yang pernah aku ceritakan sebelum ini. Senibina yang aku maksudkan ialah berkaitan dengan keunikkan struktur binaan rumah tradisional Melanau yang tinggi dan berbeza dengan struktur binaan masyarakat pribumi lain di Sarawak. Jika masyarakat Iban terkenal dengan rumah panjang mereka, masyarakat Melanau terkenal dengan rumah tinggi walaupun ramai dalam kalangan generasi muda yang tidak berkesempatan untuk tinggal di rumah tradisional ini. Ini kerana hanya tinggal satu sahaja rumah tradisional Melanau yang masih bertahan hingga ke hari ini sehingga menjadi lokasi pelancongan yang terkenal di daerah aku pada hari ini. Walau bagaimanapun, rumah tersebut adalah menjadi tempat utama aku dan rakan-rakan semasa menyambut hari raya semasa di sekolah menengah dahulu kerana ada dalam kalangan rakan sekelas aku yang menjadi penghuni rumah tersebut.

Sumber Gambar

Sebenarnya aku bukanlah expert sangat dengan bentuk senibina rumah tradisional ini kerana aku hanyalah seorang guru sekolah menengah dan bukannya seorang arkitek atau tukang rumah. Malahan gambar yang aku guna dalam blog ini pun aku dapat daripada google dan aku tidak menjejakkan kaki ke rumah tradisional Melanau Kampung Sok semenjak tamat tingkatan 5 hampir 17 tahun yang lampau. Apa yang aku boleh ceritakan ialah bentuk anjung rumah tradisional ini yang berada di hadapan seperti rumah moden dan hanya berkongsi ruang tamu di bahagian tengah rumah berbanding dengan rumah panjang masyarakat Iban atau Bidayuh yang berkongsi ruang tamu di bahagian depan rumah. Walaupun aku pernah masuk ke rumah tradisional ini satu ketika dahulu, banyak memori hanya berfokuskan kepada suasana hari raya berbanding dengan bentuk senibina dalamannya. Kenapa perkara ini berlaku? Ini adalah disebabkan rutin semasa remaja daerah saya yang akan kunjung mengunjung di rumah rakan-rakan semasa hari raya dan suasana itu yang lebih bermakna berbanding bentuk senibina tersebut. Malahan, dalam tempoh 17 tahun yang lampau, nilai sebuah kamera adalah terlalu jauh dari kemampuan anak-anak kampung hinggakan banyak kenangan tidak dapat dicatatkan dalam bentuk gambar.

Sumber Gambar

Pada hari ini, aku belum berkesempatan untuk mengunjungi rumah tradisional Kampung Sok ini dan aku akan berusaha untuk merakamkan gambar yang bermakna suatu hari nanti jika berkelapangan semasa bercuti. Ini kerana ianya adalah sebahagian daripada nilai warisan bangsa yang aku perlukan rakamkan supaya tidak hilang ditelan zaman. Malahan gambar rumah tradisional Melanau seperti yang terdapat di Kampung Budaya Sarawak adalah lebih berfokuskan kepada aspek pelancongan berbanding rumah tradisional Kampung Sok yang pasti menggamit pelbagai memori bagi anak-anak tempatan. Ini kerana jarak kampung aku dengan kampung tersebut tidaklah jauh dan dalam lingkungan 30 km serta masih ramai rakan-rakan sekolah aku yang masih menetap di kampung tersebut walaupun ada yang sudah merantau jauh seperti aku demi sesuap rezeki.

Rumah Tradisional Melanau ini yang lebih dikenali sebagai Rumah Tinggi Melanau merupakan antara warisan bangsa yang bagi aku perlu diketahui oleh generasi muda. Malahan perkembangan dalam budaya masyarakat Melanau yang unik di Bumi Kenyalang banyak mempengaruhi gaya hidup dan pemikiran generasi muda pada hari ini. Tidak mustahil sekiranya aku nyatakan ramai dalam kalangan generasi muda Melanau yang kurang mengetahui tentang warisan bangsa sendiri termasuklah aku sendiri. Ini kerana masyarakat Melanau adalah masyarakat yang mudah menerima perubahan dalam kehidupan seharian mereka di samping percampuran dengan bangsa lain yang sedikit sebanyak turut menjadi faktor penting. Istilah masyarakat yang dinamik untuk merujuk kepada bangsa Melanau bagi aku adalah sesuai kerana masyarakat Melanau mudah untuk menerima perubahan dalam aspek kehidupan seharian mereka.


Nota:
1. Laman blog berkaitan dengan rumah tradisional Melanau Kampung Sok, Matu.
- Blog 1
- Blog 2
- Blog 3
- Blog 4


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...