Thursday, January 26, 2012

Teknologi Pemangkin untuk Belajar dan Menghadapi Peperiksaan

Semasa mengikuti pengajian di peringkat sarjanamuda dulu, musim peperiksaan adalah musim yang sangat indah bagi aku dan rakan-rakan. Kenapa aku kategorikan indah? Pertama ialah kerana musim peperiksaan adalah masa untuk kami berehat panjang dengan menghabiskan masa dengan tidur dan bermain "games" sampai hampir 24 jam. Malahan urusan makan dan tidur kami pada masa itu adalah di luar ruang lingkup kebiasaan kerana kami leka menghabiskan masa dengan berkongsi cerita semasa bermain permainan komputer dan istilah makan dan minum merupakan istilah yang dikira asing. Pada masa itu belajar di saat-saat akhir sudah menjadi seperti kewajipan bagi pelajar seperti kami dan rakan-rakan yang mengulangkaji pelajaran semalam sebelum peperiksaan merupakan satu pemandangan yang biasa. 

Jadi adalah mudah untuk melihat dan meneka siapa yang ada peperiksaan dalam tempoh masa tidak sampai 48 apabila semua aspek ulangkaji adalah melalui pembacaan yang berasaskan kepada sumber tradisional seperti buku dan nota-nota kuliah yang difotokopi. Kertas dan pen adalah sesuatu medium wajib semasa kami membuat ulangkaji di samping pelajar yang terlalu rajin akan berkunjung ke perpustakaan ataupun membuat kumpulan belajar sendiri di "cafe" ataupun bilik khas di perpustakaan. Apa yang sama ialah suasana kampus yang kelihatan sunyi dan pelajar masing-masing akan mengulangkaji pelajaran berdasarkan tarikh peperiksaan masing-masing. Jadi tempoh peperiksaan yang hampir sebulan masanya akan merugikan pelajar yang menduduki peperiksaan di akhir jadual dan menunggu hari tersebut adalah sesuatu yang menyeksakan jiwa dan raga apabila melihat ramai rakan lain selesai mengharungi peperiksaan masing-masing.

Buku medium utama mengulangkaji pelajaran zaman aku mula-mual belajar dulu

Walau bagaimanapun...selepas hampir sedekad aku menghabiskan pengajian di peringkat sarjanamuda, proses yang sama berulang pada hari ini dan terdapat perbezaan yang sangat ketara aku rasakan. Ini adalah disebabkan perubahan yang berlaku dalam struktur medium yang menjadi asas dalam pembelajaran. Malahan aku rasa bersyukur walaupun dikategorikan sebagai seorang "Digital Immigrant", tetapi aku masih selesa menggunakan komputer untuk membuat ulangkaji dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Walaupun budaya belajar di saat-saat akhir masih belum dapat dibuang, persediaan tetap dibuat selaras dengan perkembangan teknologi komputer pada hari ini. Malahan aku rasa lebih selesa mendapatkan bahan ulangkaji secaa tidak langsung daripada internet dan kemahiran literasi maklumat yang mungkin sudah sebati dalam diri pelajar membuat aku tidak terasa bahang peperiksaan akhir yang semakin dekat. 

Facebook sambil ulangkaji sambil update blog

Malahan aku masih mampu untuk melayari laman sosial sambil berchat dengan rakan disamping membaca bahan rujukan mudah yang dapat dimuat turun daripada internet. Walaupun bentuk soalan peperiksaan adalah jauh berubah semenjak aku mengikuti pengajian di peringkat sarjanauda hampir sedekad lalu. Apa yang berbeza ialah pada masa itu soalan lebih terarah kepada soalan objektif dengan pilihan jawapan yan sedia ada hingga ada dalam kalangan rakan-rakan yang hanya membaca nota beberapa jam sebelum memasuki dewan kuliah dengan sebatang pensil 2B yang dah macam pensil budak sekolah rendah. Jauh sekali kami membawa pen disebabkan bentuk soalan yang memang diminati oleh pelajar seperti aku yang tidak mengharapkan keputusan yang boleh menggegar kampus. 

Walau bagaimanapun, perubahan bentuk soalan yang lebih menjurus kepada soalan berbentuk esei yang memerlukan penggunaan gambarajah dan sedikit pengiraan membuatkan aku rasa kenangan indah semasa menduduki peperiksaan akhir hampir sedekad lalu sedikit pudar. Tidak ada lagi penggunaan pensil 2B yang menjadi trend aku dan rakan-rakan dahulu dengan meletakkannya di poket belakang jeans ataupun dalam poket kemeja sekiranya peperiksaan berjalan pada hari Isnin, Rabu, dan Khamis semasa waktu pejabat. Pada hari ini semenjak menduduki peperiksaan semester 1 hampir setahun lepas, aku terpaksa membawa satu bekas pen yang mengandungi hampir semua alat tulis. Ini menyebabkan aku rasa terlalu jauh beza pengalaman semasa menduduki peperiksaan akhir. 

Belajar menggunakan teknologi, mudah dan menyenangkan

Malahan perkongsian nota dan tips peperiksaan juga berubah sama sekali, penggunaan email dan rangkaian laman sosial facebook menjadi medan utama untuk kami berhubung. Adalah sesuatu yang janggal aku rasakan sekiranya menerima sms atau panggilan rakan-rakan yang bertanya tentang tips peperiksaan kerana penggunaan email dan rangkaian sosial menjadi lebih mudah dan berbaloi untuk digunakan. Cuma aku tak tahu apa sebenarnya motif aku buat artikel ne, semoga dapat jawap peperiksaan akhir dengan baik untuk semua rakan-rakan aku program MeCOM UMS 2012.


Friday, January 20, 2012

Liga Cakoi Cuai SMK Lawas : Orang Baru Vs Orang Lama

Lama dah rasanya aku tak aktif memulakan percaturan pemain selepas cuti persekolahan yang panjang dan sibuk dengan kekangan tugas dan sibuk dengan tidur dan makan. Pada minggu lepas dua pemain aku yang diharap-harap dapat membawa perubahan sekali lagi dirundung masalah dengan pergantungan terhadap Adebayor sehingga 31 Januari dan Budak Racist (Suarez) sehingga 4 Feb. Lama lagi dapat guna khidmat dua pemain ne dan pada perlawanan minggu ke 21 lepas, kedudukan ranking LCCSL aku kekal di tangga ke-8 dengan jumlah mata yang terlalu sedikit iaitu 39. 

Pasukan Suleiman Akhlaken Naik ke Tangga Ke-2 Liga
Ulasan aku kenapa kedudukan pasukan dalam LCCSL adalah seperti di atas kerana pengurus Suleiman Akhlaken semakin bergaya dengan harta-harta Ismeth Ulam Raja ada di luar negara dan kedudukan yang kukuh selaku guru disiplin menjadikan beliau mudah mengupah pelajar untuk memantau perlawanan. Kemudian pengurus LO 508 dan Baka Ngumar sedang membuat urusan masa depan sempena kehadiran cuti Tahun Baru Cina (CNY) ini. Pengurus VAYOHFC masih selesa dengan tangga pertama liga walaupun sibuk membuat perancangan untuk bercuti CNY kembali ke kampung halaman. Manakala pengurus Red Badus Utd berkongsi mata tertinggi dalam perlawanan minggu ke-21 dengan 63 bersama KUDA LAUT FC kerana pengurus Red Badus Utd sedang gembira dengan kehadiran musim durian di Lawas dan pengurus KUDA LAUT FC masih berdebar-debar untuk menunggu urusan perpindahan beliau (Jangan pindah Man! Kesian Topek duk sorang-sorang di Kota Belud). 

Pengurus pasukan TheTeamWithNoName masih lagi kekal dengan idea menggunakan percaturan komputer untuk memilih pemain dan nampaknya memang anugerah 2 billion sel oleh Yang Maha Pencipta kepada manusia mengatasi 2 sel yang dimasukkan oleh syarikat Microsoft buatan Bill Gates (Anak dia ne lawa nak mampus, fuh!) ke dalam mesin bijak bernama komputer. Nampak kalau revolusi komputer dimulakan oleh mendiang Steve Jobs, kemungkinan percaturan pengurus TheTeamWithNoName boleh berhasil kerana anak Bill Gates pun guna iPHONE apa... tengok sini. Tapi yang paling menarik ialah pasukan FROM TEPENG WITH LUV yang berjaya mengumpul mata menarik 888 sempena kehadiran cuti CNY dengan tarian naga mula di mainkan di sekitar Kota Kinabalu dan Tamparuli. Tahun ini tarian naga akan mengatasi tarian singa dan no 8 adalah no kegilaan masyarakat Tiong Hua di Malaysia.

Sekadar Gambar Hiasan  untuk pengurus  TheTeamWithNoName. Hehehe!

Apa yang membuat aku menarik nafas lega ialah perbezaan 10 mata pasukan aku dengan pasukan kb team tidak dapat memberikan kelebihan kepada pasukan tersebut untuk naik ke tangga ke-8 liga. Mengikut sumber-sumber facebook, pengurus kb team masih lagi sibuk dengan aktiviti kegemaran beliau iaitu merambat di sekitar pantai Lawas sehingga sukar untuk membuat percaturan yang baik. Diharap satu hari nanti dapat merasa ikan bakar yang "fresh" dari pesisir pantai Lawas yang sedap berbanding ikan bom yang banyak berada di pasaran pantai Barat Utara Sabah. Jadi demi menghabiskan cuti CNY termasuk Cuti Tanpa Rekod aku yang pertama kali diluluskan dalam sejarah (Aku Cuti 25-31 Januari 2012), post entri ulasan ini aku gunakan banyak sumber-sumber sahih yang mempunyai nilai kreadibiliti yang tinggi setinggi cita-cita pengurus Suleiman Akhlaken untuk menjuarai takhta LCCSL tahun ini. Jadi percaturan terbaik aku untuk perlawanan minggu ke 22 ialah menggabungkan orang lama dengan orang baru dalam senarai pemain pasukan mLANau FC seperti berikut:





Legend Arsenal, jaringan silang dari sebelah kanan
kotak penalti beliau paling aku suka dalam sejarah bola


Ne bakal Legend Arsenal, jaringan gol yang tiada gaya
dan pemain paling tepat untuk tendangan ke palang gol
pada musim 2010 / 2011. Fuh! memang POWER


Jadi untuk semua pengurus dan pemain pasukan LCCSL, SELAMAT MENIKMATI CUTI anda semua. Semoga tahun 2012 ini akan memperlihatkan kehebatan pasukan Arsenal untuk menunjukkan kehebatan dan prestasi sebenar di atas padang berbanding prestasi sebenar di bawah aras laut Mediterranean.



Thursday, January 19, 2012

Aku dan Permainan Ping Pong

Aku tak tahu bila kali pertama aku mula melibatkan diri dalam permainan yang boleh dikira antara yang paling kurang menggunakan kos RM ini. Ianya sesuai dimainkan di sekolah-sekolah kawasan luar bandar dan sekolah-sekolah berasrama bagi mengisi masa lapang pelajar khususnya pada waktu petang dan hujung minggu. Aku mula bermain ping pong ini semasa di sekolah menengah hinggalah ke IPT. Apa yang menarik, semasa tingkatan 1-5...hanya sukan ini sahaja yang mampu kami main kerana kekangan kos dan padang bola sepak sekolah telah berubah bentuk dari segiempat sama ke bentuk trapezium dari pandangan udara. entahlah... masa tu padang bola tu telah dipasang pagar oleh pemilik tanah dan menimbulkan kekecewaan yang amat sangat dalam kalangan kami pelajar asrama.

Apabila menjejakkan kaki ke tingkatan 6 (sekarang istilah Pra-U), aku masih bermain dan bezanya ialah aku bermain dalam kalangan rakan-rakan berbangsa Tiong Hua dengan nisbah aku seorang sahaja bumiputera. Hahahahahahahaha, rakan aku yang lain gila tendang bola di padang SMK Meradong yang ibarat permaidani hijau yang indah kerana padang sekolah aku masa itu memang aku kategorikan baik. Kemudian aku menjejak kaki ke menara gading dan masih lagi bermain permainan ini bersama rakan-rakan kolej yang majoriti pemain adalah dari negeri Kelantan. Biasalah sukan akan memudahkan pergaulan dalam kalangan manusia dan kami masih bermain seperti biasa dengan kadar kekerapan yang rendah berbanding semasa aku di peringkat sekolah menengah.

Apabila memasuki alam kerjaya awal abad ke 21, aku masih melibatkan diri dalam permainan ping pong ini walaupun kekerapan semakin berkurangan kerana sejak kali pertama bertugas hingga ke hari ini, ramai dalam kalangan warga KPM di peringkat sekolah lebih selesa bermain badminton. Masalah bagi aku yang tak pernah pegang raket badminton sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah ke hari ini. Jadi aku selasa tengok Datuk Lee Chong Wei bermain badminton dan tidak selesa bila diajak bermain badminton.... hahahahahaa.



Pasukan SMK Tun Fuad Stephens 2012 : Paling kecil tu champion main!

Bersama guru pengiring termasuk Aku yang ambik gambar

6 pemain dari SMK Tun Fuad Stephens terpilih mewakili Daerah Tuaran

Sebenarnya kronologi permainan ping pong telah mewarnai sejarah manusia bersukan hampir 120 tahun dan banyak bahan berkaitan boleh diperolehi di internet. Antaranya artikel mudah seperti berikut:

Permainan Ping Pong merupakan satu kegiatan masa lapang yang digemari oleh penuntut-penuntut universiti di  Britain dalam kalangan golongan atasan. Corak atau bentuk pertama permainan ini telah didaftarkan pada tahun 1891 oleh Charles Barter dari Gloucestershire dan lebih kurang pada masa yang sama James Gibb-salah seorang pelopor Persatuan Olahraga Amatur Britain-membawa balik bola mainan seluloid dari Amerika yang diperkenalkan sebagai alternatif kepada bola getah atau gabus yang digunakan pada masa itu.Tindakan itu membawa kejayaan kepada pengilang seperti Gossima, Whiff Wall, Flim Flam dan Table Tennis. Apabila raket yang disaluti velum diperkenalkan, istilah ping pong dicipta, ia diambil daripada bunyi 'ping' yang dihasilkan apabila bertembung bet dengan bola dan 'pong' yang terhasil apabila ia melantun di atas meja. 


Pada tahun1902, seorang profesor pelawat Jepun telah membawa balik permainan ini ke Jepun dan memperkenalkannya kepada pelajar-pelajar universiti di sana.  Tidak lama kemudian seorang penjual berbangsa British, Edward Shires telah memperkenalkan permainan ini kepada orang-orang Vienna dan Budapest. Dengan ini benih perkembangan sukan ini telah tersemai dan menarik minat orang ramai. Kejohanan Sedunia yang pertama telah diadakan di London pada tahun 1927. Pemenangnya ialah seorang berbangsa Hungary iaitu Dr. Jacobi. Pada sekitar tahun 30-an pasukan Hungary telah menguasai kejohanan dunia. Pada masa itu pukulan 'spin' telah masyhur di kalangan para pemain. 


Pada tahun 1950-an, pemain Jepun telah menguasai dunia ping-pong dengan corak permainan dan cara cekak pen (pen holder) yang mementingkan corak menyerang dan gerak kaki yang pantas. Pasukan lelaki Jepun telah menjadi johan dari tahun 1954 hingga 1959. Dalam tahun 1960-an negeri China muncul sebagai sebuah negara ping-pong yang handal. Mereka menguasai dunia ping-pong menerusi penggunaan corak permainan laju dan dekat kepada meja. Pada tahun 1970-an pemain-pemain Eropah menunjukkan kebolehan mereka bertarung dengan pemain-pemain dari Asia. Pada tahun 1980-an pemain-pemain Eropah dianggap lebih handal daripada pemain-pemain Asia. 


Pada tahun1927 Persekutuan Ping-pong Antarabangsa (ITTF) hanya mempunyai 9 ahli sahaja,tetapi pada taun1990,ITTF mempunyai 145 persatuan di bawahnya. Disamping itu ada pula 4 persekutuan peringkat dunia ,Recognized Continental Federation di bawah naungan ITTF. Persekutuan tersebut ialah:-)African Table Tennis Federation,Asian Table Tennis Union,European Table Tennis Union dan South American Table Tennis Confederation.

Permainan ping pong ini bagi aku adalah mudah untuk aku melibatkan diri dan kalau ada kelapangan aku akan turun bermain dengan rakan-rakan guru di sekitar daerah Tamparuli walaupun ianya bukan menjadi sukan pilihan utama berbanding futsal dan badminton dalam kalangan warga pendidik di daerah Tamparuli.


Thursday, January 12, 2012

Aku dan Email SPAM

Semenjak aku membuka email sekitar tahun 1998 dengan menggunakan platform hotmail, masalah spam ini memang kadangkala memualkan aku dan kadangkala seronok juga nak baca semasa kepala serabut. Seperti semasa aku menonton rancangan kartun The Simpson yang selalu buat aku senyum sendiri depan monitor komputer walaupun kadangkala episod yang aku tengok tu berulang-ulang.

Bart Tetap Cool

Ada Kartel Juga... 
Macam Kartel Dadah di Mexico
Kalau email daripada pihak bank memang aku kick dah awal-awal sebab manalah bank nak contact pelanggan guna email, tu dah jelas dah walaupun aku dah berkali-kali dapat email daripada Maybank, CIMB, dan AFFIN Bank. Layan email tahap penipu super saiya yang aku dapat, hilang gak kepala serabut aku baca email ne. Aku Kaya! Aku Kaya! Aku Kaya! Hahahahahahahahahaha....


ASSALAMUALAIKUM
Rohaiza Rahmad rohaizabtrahmad.uk09@msn.com
   
Jan 11 (1 day ago)
       
to undisclosed recipients
Saya Rohaiza Binti Rahmad, saya bekerja sebagai Pegawai Pemasaran dengan Syarikat Gemstones Pemprosesan Batu permata di London. Saya ingin memperkenalkan anda kepada peluang perniagaan ini. Saya memerlukan bantuan dari anda yang akan memberi manfaat kepada kita berdua. Saya menghubungi anda kerana saya tidak mahu kehilangan kontrak ini yang disediakan oleh syarikat di tempat saya bekerja kerana kita berdua akan mendapat keuntungan yang baik daripada perniagaan ini pada masa sekarang dan pada masa depan yang akan datang. Itulah sebabnya saya meminta anda untuk menjadi pembekal kepada syarikat kami supaya kita boleh mengambil kesempatan pada peluang-peluang yang ada di syarikat ini.

Pada masa ini, syarikat kami perlu tiga tahun pembekal tetap produk yang dikenali sebagai (ADEQUANE SOLUTE) yang merupakan bahan kimia cecair baru saintifik, minyak pelincir, terutamanya yang digunakan dalam makmal gemological bagi pembersihan rawatan kejelasan berlian, secara amnya bahan larutan ini tidak menembusi jauh ke dalam berlian dan vaporizes Kemasukan hitam dalam Berlian dan batu-batu permata Emas dan lain-lain.

Pembekal asal produk ini adalah dari (Malaysia) dan bekas pembekal produk ini kepada syarikat kami telah tamat kontrak dan syarikat kami sedang mencari mana-mana orang lain yang boleh mendapatkan bekalan (Adequane Solute) dalam kuantiti yang banyak supaya dapat memenuhi permintaan pengguna kami dan bergabung dalam perkongsian dengan syarikat ini pada masa sekarang. Sebab utama mengapa saya menulis kepada anda untuk mencari minat anda dan mendapatkan bantuan, saya hanya mahu anda untuk bertindak sebagai ejen perantara (penjual produk di Malaysia dan pembeli) kepada (syarikat kami). Ini adalah perniagaan besar, yang akan memberi dividen yang baik kepada kita berdua. Saya hanya perlu kerjasama anda untuk membuat perniagaan ini berjaya.

Saya akan memberikan anda maklumat lebih lanjut lagi mengenai perkara ini jika anda bersedia untuk berdiri sebagai agen untuk membekalkan produk kepada syarikat kami. Pertama, saya akan mendapatkan satu perjanjian kontrak untuk anda sebagai pembekal kepada syarikat di mana saya bekerja. Berdasarkan peratusan, asalnya harga pembelian sebenar bahan kimia ini oleh syarikat per karton adalah kira-kira ($4,500.00USD) manakala di Malaysia harga jualan tempatan ($2,100.00USD) dan syarikat kami tidak perlu kurang daripada 500 karton. Sebab mengapa saya mahu anda untuk menjadi ejen kami adalah untuk menjadi pautan yang menghubungkan penjual tempatan di Malaysia secara langsung kepada syarikat membeli maka margin keuntungan akan dikongsi oleh kita berdua sebanyak 50% kepada anda manakala 50% kepada saya. Bantuan utama anda bagi saya hanya untuk anda bercakap dengan pengarah syarikat kami bahawa anda boleh membekalkan syarikat produk dan juga secara terperinci dari segi harga dan cara pembayaran maka kita boleh mengambil dari sudut itu.

Sila maklumkan kepada saya dengan segera selepas anda menerima e-mel saya jika anda berminat dan bersedia untuk melakukan perniagaan dengan saya supaya saya boleh memberi anda contack penjual tempatan di Malaysia supaya anda boleh menghubungi mereka untuk meminta jika mereka mempunyai produk ini dalam stok untuk membekalkan kepada anda, Sebelum syarikat kami menghantar pengurus pembelian turun ke Malaysia untuk membeli produk daripada anda secara langsung. Ingat (jujur) adalah kunci kepada setiap kejayaan dalam perniagaan. Terima kasih di atas kerjasama anda. Saya menunggu jawapan dari anda.

Salam


Monday, January 2, 2012

Aku dan Warisan Senibina Rumah Bangsa Melanau

Apabila berbincang tentang warisan bangsa Melanau, banyak perkara yang aku ketinggalan. Cuma satu perkara yang aku rasa ramai dalam kalangan generasi muda Melanau akan mudah untuk memilih jawapan tentang senibina rumah Melanau yang unik berbanding kewujudan Kalendar Melanau yang pernah aku ceritakan sebelum ini. Senibina yang aku maksudkan ialah berkaitan dengan keunikkan struktur binaan rumah tradisional Melanau yang tinggi dan berbeza dengan struktur binaan masyarakat pribumi lain di Sarawak. Jika masyarakat Iban terkenal dengan rumah panjang mereka, masyarakat Melanau terkenal dengan rumah tinggi walaupun ramai dalam kalangan generasi muda yang tidak berkesempatan untuk tinggal di rumah tradisional ini. Ini kerana hanya tinggal satu sahaja rumah tradisional Melanau yang masih bertahan hingga ke hari ini sehingga menjadi lokasi pelancongan yang terkenal di daerah aku pada hari ini. Walau bagaimanapun, rumah tersebut adalah menjadi tempat utama aku dan rakan-rakan semasa menyambut hari raya semasa di sekolah menengah dahulu kerana ada dalam kalangan rakan sekelas aku yang menjadi penghuni rumah tersebut.

Sumber Gambar

Sebenarnya aku bukanlah expert sangat dengan bentuk senibina rumah tradisional ini kerana aku hanyalah seorang guru sekolah menengah dan bukannya seorang arkitek atau tukang rumah. Malahan gambar yang aku guna dalam blog ini pun aku dapat daripada google dan aku tidak menjejakkan kaki ke rumah tradisional Melanau Kampung Sok semenjak tamat tingkatan 5 hampir 17 tahun yang lampau. Apa yang aku boleh ceritakan ialah bentuk anjung rumah tradisional ini yang berada di hadapan seperti rumah moden dan hanya berkongsi ruang tamu di bahagian tengah rumah berbanding dengan rumah panjang masyarakat Iban atau Bidayuh yang berkongsi ruang tamu di bahagian depan rumah. Walaupun aku pernah masuk ke rumah tradisional ini satu ketika dahulu, banyak memori hanya berfokuskan kepada suasana hari raya berbanding dengan bentuk senibina dalamannya. Kenapa perkara ini berlaku? Ini adalah disebabkan rutin semasa remaja daerah saya yang akan kunjung mengunjung di rumah rakan-rakan semasa hari raya dan suasana itu yang lebih bermakna berbanding bentuk senibina tersebut. Malahan, dalam tempoh 17 tahun yang lampau, nilai sebuah kamera adalah terlalu jauh dari kemampuan anak-anak kampung hinggakan banyak kenangan tidak dapat dicatatkan dalam bentuk gambar.

Sumber Gambar

Pada hari ini, aku belum berkesempatan untuk mengunjungi rumah tradisional Kampung Sok ini dan aku akan berusaha untuk merakamkan gambar yang bermakna suatu hari nanti jika berkelapangan semasa bercuti. Ini kerana ianya adalah sebahagian daripada nilai warisan bangsa yang aku perlukan rakamkan supaya tidak hilang ditelan zaman. Malahan gambar rumah tradisional Melanau seperti yang terdapat di Kampung Budaya Sarawak adalah lebih berfokuskan kepada aspek pelancongan berbanding rumah tradisional Kampung Sok yang pasti menggamit pelbagai memori bagi anak-anak tempatan. Ini kerana jarak kampung aku dengan kampung tersebut tidaklah jauh dan dalam lingkungan 30 km serta masih ramai rakan-rakan sekolah aku yang masih menetap di kampung tersebut walaupun ada yang sudah merantau jauh seperti aku demi sesuap rezeki.

Rumah Tradisional Melanau ini yang lebih dikenali sebagai Rumah Tinggi Melanau merupakan antara warisan bangsa yang bagi aku perlu diketahui oleh generasi muda. Malahan perkembangan dalam budaya masyarakat Melanau yang unik di Bumi Kenyalang banyak mempengaruhi gaya hidup dan pemikiran generasi muda pada hari ini. Tidak mustahil sekiranya aku nyatakan ramai dalam kalangan generasi muda Melanau yang kurang mengetahui tentang warisan bangsa sendiri termasuklah aku sendiri. Ini kerana masyarakat Melanau adalah masyarakat yang mudah menerima perubahan dalam kehidupan seharian mereka di samping percampuran dengan bangsa lain yang sedikit sebanyak turut menjadi faktor penting. Istilah masyarakat yang dinamik untuk merujuk kepada bangsa Melanau bagi aku adalah sesuai kerana masyarakat Melanau mudah untuk menerima perubahan dalam aspek kehidupan seharian mereka.


Nota:
1. Laman blog berkaitan dengan rumah tradisional Melanau Kampung Sok, Matu.
- Blog 1
- Blog 2
- Blog 3
- Blog 4


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...