Wednesday, November 23, 2011

Motivasi "Tomato" dan Aku Langsung Tak Menikmati Masa Cuti

PHOTO BLIP.COM
Musim cuti sekolah seperti ini memang amat membosankan apabila tidak dapat balik kampung dan berjumpa dengan keluarga dan rakan-rakan sekampung yang sudah lama aku tinggalkan semenjak hari raya tahun 2011 ini. Kadangkala aku terfikir untuk berpindah balik dan bertugas di Bumi Kenyalang (tanah tumpah kelahiran sendiri) dan kebosanan apabila masa cuti di tempat sendiri, masa bekerja di tempat sendiri, dan tiada istilah balik kampung itulah yang sering menghalang aku untuk mengisi e-tukar guru. Bukan sekali dua aku berfikir untuk mengisi perpindahan antara negeri... berkali-kali, tetapi setiap kali terlintas untuk mengisinya, aku sering membatalkan hasrat kerana banyak lagi yang perlu aku capai dan menimba pengalaman di tempat orang. Sebab itu apabila aku melihat gambar disebelah, aku sering tersenyum memikirkan situasi tersebut. Hanya beberapa kerat sahaja yang memahami gambar itu dan memang aku akui hanya beberapa kerat sahaja masyarakat di daerah aku akan faham dengan terjemahannya disebabkan faktor usia dan gaya pemikiran yang berbeza-beza.

Hampir seminggu dah cuti sekolah berlalu, aku masih tidak dapat menyiapkan proposal yang bakal aku bentangkan dalam pengajian semester 3 ini dan barang yang aku kemas-kemas untuk berpindah rumah pun belum selesai. Banyak betul benda nak buat dalam tempoh yang singkat dan aku sendiri mengakui perkara ini apabila rakan-rakan sekelas sering mengeluh dengan kekangan masa dan beban tugasan yang masih mencengkam walaupun cuti sekolah sudah bermula. Memang aku memasang tekad untuk meneruskan pengajian tanpa menangguh walaupun apa sahaja yang bakal menimpa, oleh sebab itu gambar di atas memang memberi motivasi yang tinggi untuk aku meneruskan usaha dan berharap menjelang tahun 2013, aku akan melepaskan beban dan tanggungjawab di sekolah tanpa menjejaskan mana-mana pihak. Memang sukar untuk mengerti dan menyerap tekanan di tempat orang, segala-galanya berbeza dan perbezaan itulah yang membentuk perkembangan dan motivasi diri sesiapa. Kadangkala masa cuti sekolah seperti ini aku rasakan seperti lebih sibuk daripada semasa sesi persekolahan kerana inilah kali pertama cuti sekolah aku harungi dengan kesibukan belajar sendiri. Tapi memang masa belajar adalah yang paling menyeronokan... tak dapat ditandingi oleh zaman kita membentuk dan mengukuhkan kerjaya...



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...