Wednesday, October 26, 2011

Zaman Prasejarah (Paleolitik, Mesolitik, Neolitik)

Apakah maskud zaman ne? Mudahnya, zaman Paleolitik, Mesolitik, dan Neolitik ini sering dikaitkan dengan zaman tidak mempunyai sistem tulisan...susah lah nak jelas dengan perkataan kalau kira dari aspek kepercayaan dan keagamaan... memang konsep zaman ne bagi aku lari jauh dari aspek keagamaan dan semasa mengajar tingkatan 6 dahulu, aku sering tanya dengan pelajar... Anda semua percaya dengan fakta sains ini atau agama korang? (Jawapan dia aku sendiri jawap... aku percaya agama aku 100000%, ne fakta bangangggg, tapi apa boleh buat... dah ada dalam sukatan, nanti aku jadi menteri pelajaran ataupun sejarawan terkenal... taklah anak cucu aku belajar tajuk bengap ne). Hahahahahahaha, apa korang buat kalau cikgu sejarah korang cakap macam tu? Ok post kali ini atas permintaan salah seorang rakan blogger yang tak tahu maksud PALEOLITIK selepas baca post sebelum ini... Layan lah contoh jawapan esei sejarah yang aku bagi pelajar aku satu masa dulu, setiap perenggan ada isi utama yang perlu diberi perhatian dengan SERIUS sebagai tips pertama mempelajari sejarah!


Sebelum wujudnya sebuah masyarakat yang bertamadun atau mempunyai peradaban yang tinggi, sudah wujud satu zaman yang dikenali sebagai zaman prasejarah. Ini dapat dibuktikan melalui fakta sains tentang pembentukan bumi sejak 4 600 juta tahun yang lampau dengan kehidupan di dasar laut bermula 1000 juta tahun lampau dan darat 600 juta tahun kemudiannya. Perubahan umum dalam perkembangan pensejarahan manusia boleh dibahagikan kepada dua zaman iaitu zaman batu yang sering dikaitkan dengan zaman prasejarah dan zaman logam yang dikaitkan dengan zaman sejarah. Malahan zaman prasejarah mempunyai pengertian dan ciri-ciri masyarakat yang tersendiri sebelum wujudnya zaman sejarah dan tamadun awal manusia.

Istilah prasejarah tidaklah wujud sejak era kegemilangan ahli falsafah Yunani yang dikenali sebagai bapa sejarah seperti Herodutus. Ia hanya muncul secara tidak langsung dalam abad ke 18 apabila seorang kurator muzium di Perancis iaitu Tournal telah mempelopori penggunaan istilah prasejarah dalam usahanya untuk mencatat perkembangan manusia sebelum wujudnya sistem tulisan. Walau bagaimanapun istilah prasejarah hanya diketengahkan dalam aspek penulisan sejarah dalam tahun 1851 oleh seorang penulis Scotland iaitu Daniel Wilson dalam artikelnya bertajuk “The Archeology of Prehistorie Annals of Scotland”. Semenjak itulah istilah prasejarah mula mendapat tempat dalam bidang penulisan ilmiah dan ianya terus menjadi rujukan sebagai satu zaman yang wujud sebelum era sejarah lagi. Malahan Frank Hole dan Robert F. Heizer mentakrifkan prasejarah sebagai sebahagian daripada masa silam manusia yang tidak dicatatkan.

Kemunculan zaman prasejarah tidak dapat dipastikan dan titik permulaan dikatakan berlaku sejak 3 juta tahun yang lampau di benua Afrika apabila muncul beberapa kumpulan primat yang mempunyai ciri-ciri manusia. Walaupun begitu, apa yang dapat dipastikan ialah permulaan zaman prasejarah adalah berbeza-beza mengikut kawasan dan bukti yang jelas ialah kewujudan zaman prasejarah di benua Amerika hanya berlaku sekitar 20 000 tahun yang lampau. Disebabkan belum wujudnya sistem tulisan, secara langsung kelompok manusia pada masa itu tidak mempunyai kebolehan untuk merekod dan mencatat segala bentuk aktiviti yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Para sejarawan hanya dapat membuat interpretasi terhadap bukti-bukti arkeologi yang ditinggalkan oleh masyarakat prasejarah seperti ekofak, artifak, feature dan fosil. Oleh yang demikian zaman prasejarah merupakan zaman yang berlaku sebelum wujudnya sistem tulisan dan kemunculannya adalah berbeza-beza mengikut kawasan dan tempat.
   
Antara ciri-ciri utama masyarakat prasejarah ialah kewujudan beberapa kumpulan atau spesis manusia yang tertentu. Walau pun kewujudan kelompok manusia sudah bermula sebelum zaman prasejarah, tetapi ciri-ciri kelompok manusia prasejarah adalah lebih dekat dengan ciri-ciri manusia moden. Manusia prasejarah berasal dari kumpulan Hominids yang terbahagi kepada tiga kelompok utama iaitu Homoerectus atau “upright man”, Homo Neanderthalis, dan Homo Sapiens atau “thinking man”. Setiap kelompok mempunyai ciri yang berbeza dan lokasi kewujudan yang berbeza-beza. Contohnya ialah kewujudan golongan Homoerectus di Jawa, China, dan Tanzania sekitar 500 000 SM yang lampau. Manakala golongan Homo Neanderthalis terdapat di Jerman dan golongan Homo Sapiens yang dikatakan sebagai manusia moden sepenuhnya terdapat di Afrika, Eropah, Australia, Asia, dan Amerika Syarikat.

Secara keseluruhannya, peralatan utama yang digunakan oleh masyarakat prasejarah adalah berasakan kepada batu. Setiap daripada zaman prasejarah menunjukkan penggunaan peralatan yang berbeza dan berlaku peningkatan yang jelas dalam  penghasilan peralatan batu dari aspek fungsi dan nilai estetika yang diterapkan dalam setiap zaman. Apa yang paling ketara ialah peralatan batu digunakan untuk aktiviti berburu dan pada zaman Mesolitik, penciptaan anak panah adalah bukti menunjukkan kepentingan peralatan dalam kegiatan pemburuan masyarakat. Walau pun begitu, peralatan lain terutamanya tembikar turut digunakan oleh masyarakat prasejarah. Ini adalah kesinambungan daripada pengetahuan tentang api pada zaman Paleolitik dan tembikar digunakan untuk memasak dan menyimpan makanan serta air.

Kegiatan ekonomi pula adalah berubah-ubah mengikut tahap dan ia berkait rapat dengan ciri-ciri lain yang digambarkan dalam masyarakat prasejarah. Masyarakat prasejarah awal iaitu zaman Paleolitik dan Mesolitik adalah berasaskan kepada aktiviti pemungutan hasil hutan dan laut, pemburuan binatang, dan kegiatan menangkap ikan. Kegiatan ekonomi yang berkonsepkan sara diri ini kemudiannya melalui perubahan yang amat ketara pada zaman Neolitik. Ini adalah disebabkan oleh berlakunya revolusi dalam kegiatan ekonomi di mana masyarakat zaman Neolitik mula melibatkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan binatang. Penanaman ubi dan bijirin berlaku dengan pesat disamping penternakan lembu, kambing, ayam, dan itik. Apabila berlaku lebihan dalam pengeluaran bahan makanan kegiatan perdagangan turut berlaku secara tidak langsung  apabila terciptanya teknologi-teknologi yang berkaitan.
   
Selain itu, ciri-ciri masyarakat prasejarah turut melibatkan aspek corak kehidupan seharian mereka yang berbeza-beza mengikut zaman yang telah dijelaskan. Manusia prasejarah sejak awal lagi sering berpindah randah dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain untuk mendapatkan sumber makanan dan air. Pada zaman Paleolitik dan Mesolitik manusia tinggal dalam kelompok yang kecil di kawasan-kawasan tepi sungai, tepi tasik, di dalam gua, dan pondok yang diperbuat daripada kayu. Konsep petempatan kekal hanya wujud pada zaman Neolitik selaras dengan kewujudan kampung-kampung pertanian yang didiami oleh kelompok manusia yang lebih kompleks. Dengan pengurusan yang lebih terancang, petempatan petempatan zaman Neolitik telah berubah menjadi kota seperti Catal Huyuk di Turki, Jarmo di Iraq, dan Jericho di Palestin.
Apabila kehidupan semakin meningkat dan kompleks, penciptaan teknologi dan kemahiran baru dalam zaman prasejarah turut berlaku. Pada zaman Paleolitik, pencapaian masyarakat hanya terhad kepada aktiviti melukis di dinding-dinding gua yang bermotifkan binatang dan patung wanita. Walau bagaimanapun, penciptaan lampu adalah sebagai unsur penting dalam penghasilan lukisan masyarakat Paleolitik. Teknologi dan peralatan yang lebih baik dan merangkumi aspek yang lebih luas dicipta pada zaman Mesolitik yang dikenali sebagai mikrolit seperti penciptaan harpon, mata kail, jala, dan sampan. Apabila kehidupan masyarakat menjadi semakin kompleks pada zaman Neolitik, teknologi dan peralatan yang lebih baik tercipta seperti pakaian yang lebih bermutu melalui alat tenunan, roda, terusan, dan empangan.

Seterusnya aktiviti yang berkaitan dengan konsep agama dan kepercayaan turut wujud dalam kehidupan masyarakat prasejarah. Walau bagaimanapun ia lebih melibatkan aspek kepercayaan dalam masyarakat seperti tradisi mengebumikan mayat bersama-sama barang keperluan untuk dibawa bersama ke alam yang wujud selepas mati  sudah dilakukan sejak zaman Paleolitik lagi. Perubahan yang jelas hanya berlaku pada zaman Neolitik apabila unsur-unsur ghaib dan magis mula mendapat perhatian dalam masyarakat seperti tanah yang dilambangkan sebagai wanita yang subur dan benih ditanam dengan harapan dapat menghasilkan pulangan yang banyak. Malahan masyarakat Neolitik turut membina rumah-rumah penyembahan sebagai tempat mereka untuk menjalankan ritual seperti yang dilakukan oleh masyarakat di Catal Huyuk Turki.

Oleh yang demikian, masyarakat pada zaman prasejarah jelas mempunyai pelbagai ciri yang berbeza-beza mengikut tahap dan perubahan tertentu. Evolusi yang berterusan dalam pelbagai aspek kehidupan secara langsung telah memberi kehidupan yang lebih baik dalam masyarakatnya. Malahan ciri-ciri masyarakat prasejarah yang telah dijelaskan terus berubah sehingga ke hari ini dan mereka boleh dikatakan sebagai perintis kepada pembentukan tamadun dalam sejarah peradaban manusia.

Bagaimana dengan sebahagian skop perbincangan soalan setaraf STPM di atas yang aku selalu kongsi dan jelaskan kepada pelajar semasa menerajui kelas tingkatan 6 di SMK Narinang, Kota Belud dari tahun 2003 hinggalah aku dipindahkan ke SMK Pekan Kota Belud II pada tahun 2009. Kini tahun 2011 aku berpindah dengan rela hati ke SMK Tun Fuad Stephens Kiulu dan semua aspek yang berkaitan dengan sejarah semakin jauh dari apa yang aku fikirkan... Apa yang penting ialah kita pernah dijajah pada satu masa dulu... tak kira Semenanjung Malaysia hinggalah ke Kepulauan Borneo. Mengaku kita pernah dijajah tidak meletakkan kita dalam kelompok manusia yang rugi selagi kita mengambil iktibar dari peristiwa Sejarah...

2 comments:

  1. Fakta sejarah yg menarik! Okay..kristal semakin jernih skrg.. ^.^

    ReplyDelete
  2. TQ... hahahahaha, sharing is awesome

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...